Pengskodeng terhebat

Great deal yawww

Wednesday, March 16, 2011

Kesan Radiasi Tidak merebak

KUALA LUMPUR 13 Mac – Kesan radiasi akibat kebocoran loji janakuasa nuklear Fukushima Daiichi di Jepun akibat gempa bumi kuat kelmarin tidak akan merebak ke negara lain termasuk Malaysia berdasarkan faktor jarak dan suhu di kawasan bencana.
Profesor Nuklear Dalam Perubatan, Kolej Perubatan Masterskill, Prof. Datuk Dr. Proom Promwichit berkata, kesan radiasi hanya berlegar di sekitar loji terbabit memandangkan suhu di kawasan tersebut hanya dianggarkan 300 darjah celsius.
“Hanya jika suhu di kawasan itu melebihi 1,000 darjah celsius, kesan radiasi akan naik ke lapisan atmosfera dan mampu merebak sehingga ke negara ini.
“Namun, saya anggarkan suhu di kawasan tersebut hanya berada pada paras 300 darjah celsius,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau mengulas insiden kebocoran loji janakuasa nuklear Fukushima Daiichi di Jepun akibat kejadian gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter yang menyebabkan tsunami kelmarin yang dikhuatiri memberi kesan sehingga ke negara ini.
Kata Proom, faktor jarak turut memainkan peranan dalam penyebaran kesan radiasi itu dan memandangkan jarak Jepun dan Malaysia sangat jauh, risiko penyebaran kesan radiasi tersebut sangat kurang.
Katanya, bahagian yang paling berbahaya pada sesebuah loji nuklear adalah terasnya, namun peluang untuk teras nuklear itu tersebar adalah mustahil kerana setiap loji mempunyai mekanisme pelindungan yang mengelakkan teras tersebut daripada tersebar.
“Apa yang dibebaskan dari loji tersebut hanya lapisan luar nuklear yang tidak mendatangkan apa-apa kesan kepada manusia. Kesan sinaran X-ray sebenarnya lebih berbahaya,” katanya.
Perkara sama turut disahkan oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dan Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dalam mesyuarat berkaitan insiden itu bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) petang ini.
Timbalan Setiausaha MKN, Datuk Che Moin Umar ketika dihubungi berkata, kesan radiasi akibat kebocoran itu adalah pada tahap empat iaitu masih selamat kepada negara di sekelilingnya, bagaimanapun ia boleh berubah berdasarkan tiupan angin.
“Semua faktor berkaitan kebocoran tersebut dibincangkan pada mesyuarat itu dan kami mendapati bahawa kebocoran tersebut tidak memberi kesan kepada negara ini. Kesan hanya dirasai jika angin bertiup ke arah utara,” katanya.
Kata Che Moin, jumlah radiasi di udara di kawasan tersebut adalah amat sedikit dan tidak menjadi ancaman kepada persekitarannya secara terus dan kerajaan Jepun memantau perkembangan di kawasan tersebut.
Katanya, pihak keselamatan Jepun turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan memeriksa setiap urusan keluar masuk ke kawasan tersebut bagi mengelakkan radiasi daripada tersebar ke kawasan lain.
“Justeru, rakyat negara ini diminta tidak panik kerana kebocoran loji nuklear itu masih terkawal dan tidak memberi kesan kepada rakyat negara ini,” katanya.






No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...