BENTONG – Walaupun cedera parah di leher akibat ditikam menggunakan pisau rambo semasa menangkap penjenayah dikehendaki, Rabidin Satir, 42, pada 14 November tahun lalu, namun Konstabel Mohd Suhaimi Md Razali, 26, tetap bersemangat meneruskan tugasnya sebagai anggota polis.
Mohd Suhaimi berkata, kejadian itu menyebabkan dia terpaksa bercuti sakit hampir dua bulan dan masuk bertugas semula awal Februari lalu.
Namun katanya, kini dia tidak lagi menjalankan kerja berat atas sebab kesihatan dan ditugaskan menjalankan kerja dalaman sahaja.
“Saya tidak boleh selincah dahulu akibat kecederaan di bahagian leher. Sekurang-kurangnya dua minggu sekali, saya pergi ke Hospital Bentong untuk menjalani rawatan fisioterapi, selain terpaksa makan ubat penahan sakit jika sakit pada waktu malam,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Hari Peringatan Polis Ke-206 di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong, dekat sini.
Pada majlis itu, Mohd Suhaimi turut menerima sijil penghargaan atas kejayaannya menangkap penjenayah terbabit.
Menurutnya, walaupun berdepan kesakitan, namun dia tidak patah semangat dan bertekad untuk bekerja dengan lebih baik.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, semangat yang ada pada Mohd Suhaimi perlu dicontohi anggota dan pegawai polis lain.
Katanya, Mohd Suhaimi bertarung nyawa demi memastikan penjenayah itu ditangkap tanpa menghiraukan keselamatan diri sendiri.
Putrajaya: “Lalat, semut penuh menghurung tangan saya yang hampir putus ditetak, tetapi saya katakan pada diri akan terus bertahan,” kata Inspektor Mohamad Hasnal Jamil, anggota polis yang cedera parah dalam serangan hendap pengganas Sulu di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah, 2 Mac lalu.
Hasnal, 31, berkata, sepanjang 21 jam berlindung di sebuah rumah papan, anggotanya menyuap air hujan bagi menghilangkan dahaga kerana tangannya tidak boleh bergerak akibat ditetak pengganas.
“Darah di muka dan tangan kanan hampir kering, manakala seluar serta baju mengeras akibat terlalu banyak darah mengalir. Bila cuba berdiri mahu pitam jadi terpaksa hanya berbaring.
“Anggota yang terselamat berada di sisi saya, mereka tunggu dan bertahan kerana tidak tergamak meninggalkan saya dan jenazah rakan yang terbunuh,” katanya ketika ditemui selepas pada majlis penyerahan sumbangan Tabung Perwira Lahad Datu kepada balu dan waris anggota keselamatan yang terkorban dan tercedera di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), di sini, semalam.
1 comment:
sedih tiap kali bace berita pasal dorg ni...
Al-Fatihah utk mereka yg terkorban ~
Post a Comment