Pengskodeng terhebat

Great deal yawww

Tuesday, July 26, 2011

Duit syiling baharu mulai 1 Januari


Selepas 20 tahun, Bank Negara Malaysia (BNM) akan memperkenalkan siri ketiga duit syiling Malaysia yang akan berada dalam edaran pada 1 Januari 2012.
Siri ketiga duit syiling tersebut adalah bagi denominasi 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen.
Gabenor BNM, Tan Sri Zeti Akhtar Abdul Aziz berkata, duit syiling tersebut akan menggantikan duit syiling sedia ada dan ia adalah lebih kecil dan ringan untuk memudahkan orang menggunakannya.

''Duit syiling baharu ini dibuat dengan menggunakan kemajuan terkini dalam teknologi pembuatan duit syiling dengan memasukkan ciri-ciri keselamatan lebih baik bagi mengelakkan pemalsuan.
''Sementara itu, duit syiling sedia ada akan dikeluarkan dari pasaran secara beransur-ansur bagi memudahkan semua pihak termasuk vendor dan mereka yang menguruskan mata wang.

''Vendor yang mengendalikan mesin wang tunai akan diberikan tempoh selama enam bulan untuk mengubah suai mesin mereka bagi memudahkan penggunaan duit syiling baharu itu,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pengeluaran duit syiling peringatan untuk siri ketiga duit syiling baharu Malaysia di sini hari ini.
Zeti berkata, pada bulan September ini, siri keempat wang kertas turut akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

''Pengumuman lanjut mengenai wang kertas siri keempat itu akan dibuat pada bulan September dan ia turut memperkenalkan ciri-ciri keselamatan baharu,'' katanya.
Tambah Zeti, ciri-ciri unik yang mencorakkan budaya dan warisan negara menjadi sumber inspirasi reka bentuk syiling baharu ini.
''Motif reka bentuk duit syiling ini memaparkan keindahan alam semula jadi, flora dan fauna serta seni kraftangan tradisional yang terdapat di Malaysia.

''Ia didatangkan dalam warna kuning dan perak mempunyai sisi tepi berbeza-beza bagi membolehkan orang ramai dan mereka kurang upaya penglihatan untuk mengenali dan membezakan dengan lebih baik jenis-jenis duit syiling tersebut.
''Manakala logam baharu yang digunakan untuk membuat duit syiling itu adalah dari jenis yang lebih berkualiti dan tahan lama,'' jelasnya.
Reka bentuk duit syiling baharu itu bagi bahagian hadapan motif denominasi syiling lima sen, 10 sen dan 20 sen memaparkan 14 titik melambangkan 13 belas negeri serta Wilayah Persekutuan dan motif syiling 50 sen mempunyai lima garis mendatar bagi mewakili lima prinsip rukun negara.
Bahagian belakang pula bagi kesemua duit syiling memaparkan motif yang sama iaitu bunga raya, tahun penempaan, nilai muka duit dan perkataan Bank Negara Malaysia.


Sementara itu, motif bagi setiap denominasi adalah seperti berikut, 50 sen menunjukkan sulur kacang, 20 sen bunga melur, 10 sen motif Orang Asli dan 5 sen dengan Destar Siga.
BNM telah mengeluarkan set syiling peringatan sebanyak 500,000 secara berperingkat-peringkat yang dipakej secara khas dan akan dijual pada harga RM10 bagi setiap set.
Duit syiling peringatan itu akan mula dijual oleh BNM esok di ibu pejabat BNM dan cawangannya di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.

copy from : lulu caldina

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...