Sebelum terbentuknya kerajaan Melayu Melaka, seluruh kawasan Tanah Melayu dikatakan termasuk ke dalam kawasan kerajaan Pahang. Kerajaan Majapahit, misalnya, pernah menyebut Tanah Melayu sebagai Pahang sahaja.
Pada zaman dahulu, Pahang disebut dengan pelbagai nama oleh penduduk tempatan mahupun penduduk tanah asing. Pengarang-pengarang Cina mengenalinya sebagaiPang-heng, Peng-Heng, Pang-hang, Pong-fong, Phe-hang dan berbagai-bagain lagi. Orang Arab dan orang Eropah pula menyebutnya sebagai Panm Pam, Phang, Paam, Pao, Poam, Phaan, Paham, Panham, Phaung dan Pahangh.
Dalam bahasa Khmer, perkataan ‘pahang’ bermakna ‘timah’. Pada masa dahulu banyak lombong bijih timah diusahakan di Pahang, terutama di sekitar Sungai Tembeling. Mungkin dari perkataan Khmer itulah timbulnya nama Pahang.
Dalam penulisan Melayu lama pula, Pahang dikenali sebagai Inderapura. Di samping itu, ada juga yang memberikannya gelaran Zamin Eran. Gelaran ini timbul berpandukanSyair Juragan Budiman. Kononnya menurut syair itu, Zamin Tauran merujuk kepada Kelantan, Zamin Ambar kepada Terengganu, dan Zamin Eran kepada Pahang.
Akan tetapi, mengikut cerita lisan, nama Pahang itu berasal daripada nama pokok, iaitu pokok mahang. Pokok mahang berkenaan tumbuh di Kampung Tanah Nyior di Mukim Pedah, Jerantut.
Kononnya sebatang pokok mahang tumbuh di tebing sungai yang ketika itu belum bernama. Pokok itu tumbuh dengan cepat, menjadi sebatang pokok yang amat besar dan tinggi. Tidak ada pokok di seluruh negeri Pahang yang boleh menandinginya. Pokok mahang yang tinggi dan besar itu bukan sahaja dapat dilihat oleh penduduk di sekitarnya tetapi juga oleh pemerintah Pahang yang pada ketika itu bersemayam di Pekan. Pokok mahang itu juga dapat dilihat dari Laut Cina Selatan lalu dijadikan pedoman oleh nelayan-nelayan dan juga pedagang yang belayar di situ.
Pemerintah Pahang pada ketika itu amat risau dengan keadaan pokok mahang yang boleh dijadikan pedoman pelayaran itu. Baginda terus memanggil pembesar-pembesar negeri untuk masuk mengadap.
“Tujuan beta memanggil kamu sekelian ialah untuk menyelesaikan masalah pokok mahang itu. Beta bimbang kalau-kalau pokok itu dijadikan pedoman oleh lanun atau musuh kita untuk menyerang negeri ini,” titah baginda.
“Tuanku, petik pu merasakan pokok itu mengancam keselamatan negeri ini.” Jawab Bendahara.
“Kalau begitu, beta mahu pokok mahang itu ditebang agar lanun tidak menjadikannya pedoman untuk menyerang negeri ini,” titah baginda lagi.
“Patik sekelian bersetuju dengan pendapat tuanku itu. Esok patik akan mengarahkan rakyat negeri ini menebang pokok mahang itu,” kata Bendahara.
Maka esoknya canang pun dipukul untuk memberitahu rakyat jelata mengenai hasrat tuanku itu. Sesiapa yang dapat menebang pokok itu akan diberi hadiah yang lumayan.
Sejak berita itu tersebar ramailah anak muda dan tukang kayu yang gagah perkasa menawarkan diri untuk melaksanakan tugas tersebut. Akan tetapi, apabila mereka melihat pokok itu dari dekat ramai yang gementar ketakutan lalu pulang ke kampung masing-masing tanpa mencuba. Ada pula di kalangan mereka itu yang menganggap pokok itu keramat dan mungkin membawa bencana kepada penebangnya.
Setelah beberapa lama perintah tuanku disebarkan masih tidak ada seorang pun rakyat yang berani menebang pokok mahang itu. Akhirnya berita itu, sampai kepada batin tujuh beradik yang tinggal di Kangsa. Batin tujuh beradik itu berbincang sesame mereka dan bersetuju untuk menjalankan tugas menebang pokok itu. Mereka telah bersumpah akan terus menebang pokok itu walau apa sekalipun akibatnya. Mereka berasa, sudah tiba masanya untuk mereka berbakti kepada pemerintah.
Sebelum menjalankan tugas yang berat itu, mereka menyiapkan perkakas yang perlu dibawa. Mereka menempa sebilah mata beliung khusus dan melarik perdah atau hulunya. Beberapa hari kemudian beliung itu siap dan mereka bertujuh berkayuhlah memudiki sungai menuju ke tempat berdirinya pokok mahang itu.
“Kita dirikan pondok dan bermalam di sini,” kata batin yang sulung apabila mereka sampai di situ. “Kerja ini tidak dapat disiapkan dengan cepat.”
Adik-beradiknya mengangguk.
Esok, pagi-pagi lagi mereka telah bersiap sedia untuk menjalankan tugas yang mencabar itu. Batin sulung membakar kemenyan sambil mengelilingi pokok tersebut beberapa kali untuk menghalau penunggunya, jika ada. Setelah upacara itu selesai, batin sulung terus menghayunkan beliungnya untuk melukakan kulit pokok mahang itu. Batin-batin yang lain melihat ikhtiar abang mereka itu dengan penuh debar. Apabila batin sulung letih, mereka bergilir-gilir menyambung kerja itu. Setelah hari jauh petang mereka pulang ke pondok untuk tidur dan berehat.
Pagi esok mereka meneruskan usaha itu. Setelah beberapa hari berusaha, akhirnya batin sulung jatuh sakit. Adik-adiknya berikhtiar untuk mengubatinya tetapi gagal. Batin sulung pun meninggal dunia. Mereka mengebumikan jenazah abang mereka tidak jauh dari pokok mahang itu.
Kini tinggallah enam orang batin meneruskan usaha untuk menebang pokok mahang itu kerana mereka telah bersumpah tidak akan berhenti sehingga mereka berjaya menumbangkannya. Mereka menghadap pokok itu secara bergilir-gilir. Beberapa hari kemudian seorang lagi batin jatuh sakit lalu meninggal dunia. Lima orang batin yang masih hidup tetap meneruskan usaha mereka. Namun, satu demi satu mereka ditimpa kejadian yang serupa. Akhirnya tinggallah batin bongsu sebatang kara.
“Kalau aku meneruskan tugas ini,aku juga akan mati seperti abang-abang aku," fikir batin bongsu. “Tetapi, kalau aku tidak meneruskan tugas ini tinggallah aku seorang diri di bumi ini tanpa saudara-mara. Lagipun, aku telah bersumpah untuk menjalankan tugas ini walau apa pun yang terjadi.”
Batin bongsu terus menebang pokok mahang itu seorang diri. Dengan takdir tuhan dia berjaya menumbangkan pokok yang besar itu. Sebaik saja pokok itu tumbang, batin bongsu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Batin tujuh beradik itu telah mengambil masa selama 40 hari untuk menumbangkan pokok tersebut.
Jenazah batin bongsu dikebumikan berdekatan dengan kubur batin-batin yang lain. Tempat itu dinamakan ‘Kubur Batin Tujuh’.
Pokok mahang yang tumbang ke arah sungai dengan bunyi bak guruh. Mengikut cerita orang tua-tua, di atas tunggul pokok mahang itu boleh diletakkan 40 hidangan. Pucuk pokok itu dikatakan tumbang ke arah Bukit Saamat. Batangnya melintangi sungai dan menghalang perjalanan pedagang-pedagang untuk mudik ke Sungai Tembeling. Oleh kerana itu, perahu mereka terpaksa berlabuh jauh dari situ. Di pengkalan itu terbangunlah sebuah bandar baru yang dikenali sebagai ‘Kampung Bandar’.
Sejak daripada peristiwa itu, sungai tersebut telah dinamakan Sungai Mahang. Akan tetapi, sebutan ‘Mahang’ itu lama-kelamaan bertukar menjadi ‘Pahang’. Seterusnya, negeri yang terbentuk di sepanjang sungai itu turut memakai nama Pahang, nama yang lahir dari pokok yang besar lagi tinggi itu.
mekasih pade admin i l0ve pahang... cerita ini diambil dalam group i love pahang dalam fesbuk...
Sumber:buku Salasilah Nama Tempat
oleh Mohd. Roselan Ab Malek
No comments:
Post a Comment